Tugasan
Blog SZW502
Sedekah
dan Hubungannya Dengan Pembangunan Insaniah
Nur
Fara Hana Binti Abdullah
Calon
Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
P-SM0089/14
Kekayaan
seseorang itu tidak mempunyai apa-apa tanpa ada keberkatan. Dengan keberkatan,
harta atau rezeki yang kecil akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi.
Sebaliknya jika mempunyai kekayaan tanpa keberkatan, kehidupan akan dirasakan
sempit dan susah meskipun mempunyai harta yang banyak.
Agama
Islam memberi galakan kepada umatnya agar bersedekah dari pelbagai segi bantuan
dan pertolongan kepada orang yang memerlukan bagi meringankan beban mereka yang
dalam kesusahan. Amalan bersedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran
pahala buat manusia kerana setiap perbuatan baik itu turut dibalas dengan
perkara yang baik. Amalan bersedekah harus diamalkan walaupun sedikit dengan
seikhlas hati kerana dalam setiap rezeki dan harta yang kita miliki terdapat hak
orang lain iaitu kepada lapan asnaf yang layak menerima bantuan zakat. Oleh
itu, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama. Menurut Ariffin
Omar (2006), sedekah merangkumi bidang yang berkaitan dengan harta benda,
perkhidmatan (ibadah umum), ibadat khusus, serta amar makruf dan nahi mungkar.
Maksud sedekah ini selaras dengan sunnah kerana setiap yang makruf adalah
sedekah.
Mendapatkan kesempurnaan dalam
amalan bersedekah
Amalan
bersedekah perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT dan bagi
memastikan amalan itu tidak sia-sia, agama Islam mengajar umatnya untuk bersedekah
dengan bertepatan maksud sedekah yang sebenar. Beberapa perkara perlu diambil
kira dalam memastikan amalan sedekah itu menepati dengan tuntutan Islam.
Pertama,
sumber pendapatan yang diperolehi untuk bersedekah sama ada dalam bentuk kewangan
atau barangan mestilah diperolehi dari sumber yang halal dan benar. Sekiranya
seseorang itu bersedekah dengan harta yang datang daripada sumber yang haram, individu
tersebut tidak akan memperolehi sebarang kebaikan kecuali berdosa kerana
memberikan sesuatu yang haram kepada orang lain.
Kedua,
kita hendaklah bersedekah dengan barangan yang baik, elok dan tidak malu untuk
dipakai serta dengan barang yang disukai oleh penerima. Allah melarang kita
bersedekah dengan barang yang tidak elok kerana sedekah adalah ibadat dan
sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah. Buktinya telah Allah nyatakan dalam
Surah Al- Baqarah ayat 267seperti berikut:
“Hai orang-orang yang beriman,
nafkahkanlah (di jalan Allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan
sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu
memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan dad padanya, padahal kamu sendiri
tidak mau mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan
ketahuilah, bahwa Allah Mahakaya lagi Mahaterpuji.
(Surah
al-Baqarah: 267)
Ketiga,
dalam Islam disunatkan untuk memberi sedekah barangan yang kita sayangi. Sunat
bagi kita untuk memberi sedekah barang yang menjadi kesayangan dan kesukaan
kita tidak kira banyak atau sedikit. Allah berfirman dalam Surah Al-Imran ayat
92 yang bermaksud,
“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai
hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian
daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa juga yang kamu dermakan maka,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”
(Surah
al-Imran, 92)
Keempat,
amalan bersedekah yang tidak dihebah-hebahkan adalah lebih afdal dalam Islam. Melalui
perbuatan baik tersebut, manusia akan jauh daripada perasaan riak yang boleh
merosakkan amalan sedekah. Allah juga telah memaklumkan perkara ini dalam Surah
Al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud,
“Jika menampakkan sedekah kamu ini sangat
baik, tetapi jika kamu merahsiakannya dan memberikan kepada orang fakir, maka
itu lebih baik bagi kamu dan akan melepaskan kamu dari kejahatan sendiri, Allah
menyedari setiap apa yang kamu kerjakan.”
(Surah
al-Baqarah, 271)
Manfaat Bersedekah
Terdapat
banyak manfaat yang diperolehi daripada amalan bersedekah. Antara manfaat bersedekah ialah dapat menyucikan jiwa dan
memadamkan dosa yang telah kita lakukan. Menurut Hadis Riwayat At-Tirmizi,
“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” Sifat bakhil
adalah kotoran yang terdapat dalam jiwa manusia dan cara untuk menyucikannya adalah menanam sifat pemurah
dengan cara senang bersedekah. Kita akan merasa lapang dan mudah untuk
beribadah kepada Allah jika hati dan jiwa bersih.
Selain
itu, sedekah menjadi sebab Allah SWT membuka pintu rezeki dan memberikan
manfaat kepada pendermanya dengan mendapat berkat terhadap hartanya. Ini
bermaksud, harta itu dapat memberi manfaat bagi kehidupan dunia dan akhirat
kepada pemberi sedekah. Harta yang tidak berkat juga cenderung untuk digunakan
untuk perkara-perkara yang dilarang dalam Islam seperti melakukan maksiat dan
kearah perkara yang bukan untuk beribadah. Selain membawa berkat dalam
bersedekah, Allah juga menjanjikan penyuburan dalam harta seseorang yang
bersedekah seperti dalam firman Allah SWT :
Allah memusnahkan riba dan
menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam
kekafiran, dan selalu berbuat dosa.
(Surah al-Baqarah: 276)
Maksud
memusnahkan riba dalam surah tersebut ialah memusnahkan harta itu atau menghapuskan
berkatnya dan yang dimaksud dengan menyuburkan sedekah ialah memperkembangkan
harta yang telah dikeluarkan sedekahnya atau melipat gandakan berkatnya. Sedekah
mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki.
Amalan
sedekah juga mampu untuk memanjangkan umur seseorang. Kehidupan manusia di
dunia ini telah ditentukan saat kematian, jodoh dan juga rezekinya. Nabi
Muhammad SAW menjelaskan bahawa Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui dan
boleh memendekkan atau memanjangkan umur seseorang mengikut kehendak-Nya dengan
reda dan kasih kepada hamba-Nya yang banyak bersedekah. Tidak sukar bagi Allah
SWT merubah qadak dan qadar-Nya yang telah tertulis di Loh Mahfuz. Firman Allah
SWT maksudnya :
"Sesungguhnya urusan-Nya
apabila dia mengkehendaki sesuatu dia hanya berkata
kepadanya:"Jadilah!" maka terjadilah sesuatu itu."
(Surah Yassin ayat 81).
Sedekah
juga mampu mencegah manusia daripada mati dalam keadaan teruk atau Suul
Khatimah. Suul Khatimah bermaksud mati dalam kalangan yang tidak beriman. Sebagai
contoh, seorang yang sangat leka dengan urusan dunia sehingga tidak bersedia
untuk mati dan juga orang yang tidak bersedekah kerana terlalu cintakan
hartanya lebih dari cintanya kepada Allah SWT.
Selain
itu, bersedekah juga dapat menghapuskan sifat sombong, takbur dan membanggakan
diri. Sesiapa yang selalu bersedekah dan tidak kedekut terhadap harta yang
dimiliki dalam hatinya akan terdapat perasaan kasih sayang, lemah lembut,
tenang, suka pada kebenaran dan akan dijauhkan oleh Allah SWT sifat sombong,
takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
Bersedekah
merupakan saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun penyumbangnya
telah meninggal dunia dan bukan setakat di alam barzakh sahaja kita akan mendapat
kebaikan tetapi juga di Padang Mahsyar, para dermawan akan mendapat
perlindungan daripada Allah SWT. Semoga dengan amalan sedekah dapat menjauhkan kita
daripada penyakit-penyakit hati seperti sikap sombong, takbur dan bangga diri.
BIBLIOGRAFI
Mahazan (2010). Berkat
rezeki kerana bersedekah. Diakses daripada
https://rahsiasedekah.wordpress.com/tag/keajaiban-sedekah/ pada 15 November
2015.
Hasan Ahmad (2010). The power of istighfar. Yogjakarta :
Pustaka Marwa.
Siti Rahimah Mokhtar
(2015). 5 kelebihan bersedekah yang anda tidak tahu. Diakses daripada http://fenditazkirah.blogspot.my/2015/05/kelebihan-bersedekah.html
pada 15 November 2015.
Ariffin Omar (2006), Sedekah jaminan keharmonian umat menurut sunah,
Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributions Sdn.Bhd.